Ada yang langsung tidak menyedari datang dan perginya Rejab kerana
terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan takwim Islam. Tidak
kurang yang menyambut kedatangan Rejab dengan penuh gembira dan
bersemangat serta mempertingkatkan amalan di dalamnya.
Ada pula yang menyambutnya dengan terlampau mempermasalahkan dan
mempertikaikan keistimewaannya dan kewajaran menambahkan amalan padanya.
Kita merasakan bahawa mereka yang paling beruntung adalah mereka yang
memahami dan mengenali Rejab serta menunaikan hak hari-harinya
sebagaimana yang selayaknya tanpa melampau atau mencuaikan.
Bagi kebanyakan mereka yang meraikan kedatangan Rejab, bulan ini
dirasakan begitu istimewa kerana ia menandakan hampir ketibaan tetamu
agung, Ramadan al-Mubarak.
Ramadan sudah tentulah dirindui dan dinanti-nanti oleh setiap mereka
yang beriman dan para pencinta Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Tempias
kecintaan kita kepada Ramadan turut terkena pada Rejab dan Syaaban
sebagai pengapit dan pendamping setia kepada Ramadan.
Keterkaitan dalam keberkatan bulan-bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan
terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a daripada
Rasulullah SAW yang bererti, “Ya Allah, Berkatilah kami pada bulan Rejab
dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan
Ramadan”. (diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam al-Syua’aab, Ibn Abi
al-Dunya dan Ibn Sunniy).
Sebenarnya keistimewaan Rejab turut disebut di dalam al-Quran dengan
menyenaraikannya sebagai salah satu daripada empat bulan haram. Allah
berfirman yang maksud-Nya: Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah
ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit
dan bumi, di antaranya empat bulan haram…. (at-Taubah: 36)
Para ulama bersepakat Rejab adalah antara bulan yang dimaksudkan oleh
Allah SWT dalam ayat ini dan beberapa ayat lain. Jelas bahawa Allah SWT
sendiri di dalam al-Quran telah memuliakan bulan Rejab dengan
mengisytiharkannya sebagai salah satu daripada bulan-bulan haram.
Mengikut pandangan yang masyhur di kalangan ulama, Allah SWT juga
telah memuliakan bulan Rejab dengan berlakunya di antara peristiwa
terpenting dalam sirah Nabi SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj di
dalamnya.
Sebagai golongan hamba-Nya yang terpilih, keistimewaan bulan Rejab
tidak terlepas daripada pandangan ulama baik dahulu dan sekarang. Mereka
telah menunjukkan contoh serta menggalakkan kita mempertingkatkan
amalan dengan bersangka baik dengan Allah SWT bahawa dengan keberkatan
bulan ini ganjaran amalan dan rahmat Allah SWT akan berlipat ganda.
(Imam Ibn Jarir al-Tobari ada meriwayatkan pandangan Ibn Abbas r.a
mengenai hal ini dalam tafsirnya).
Jika dikira hubungan Rejab, Syaaban dan Ramadan memang sesuailah kita
lebih banyak berpuasa dan solat sunat, tilawah al-Quran, berzikir dan
bersedekah sebagai membina momentum ke arah penghayatan Ramadan yang
lebih cemerlang.
Sebahagian ulama menganjurkan kita membanyakkan istighfar di bulan
Rejab dengan semangat al-Takhalliy iaitu untuk mengosongkan atau
membersihkan diri kita. Ini disusuli penganjuran kita memperbanyakkan
berselawat ke atas Nabi SAW di bulan Syaaban sebagai fasa al-Tahalliy
yang bererti mengisi atau memperhiaskan diri sesudah diri kita
dikosongkan dan dibersihkan dengan istighfar dan taubat.
Sesudah kita bersiap dengan membersih dan memperhiaskan diri barulah
layak untuk kita bertaqarrub langsung dengan Allah SWT (al-Tajalliy)
dengan memperbanyakkan tilawah al-Quran, sepanjang Ramadan.
Jika direnungi, anjuran para ulama ini sangat mendalam falsafah dan
hikmahnya demi membantu kita menghayati bulan-bulan yang mulia ini
dengan lebih bermakna.
Jika menjadi keyakinan setiap mukmin bahawa hidup dunia ini sebagai
suatu ujian atau peperiksaan besar, maka Ramadan dan segala hari dan
bulan yang istimewa dalam Islam bolehlah dianggap sebagai kelas-kelas
tambahan atau ujian-ujian latihan. Ia akan mendorong kita sentiasa peka
dan siap-siaga dalam mengharungi proses ujian tersebut.
Dengan segala kelemahan yang ada pada diri insan adalah sukar untuk
menempah kejayaan dalam ujian kehidupan ini jika kita tidak dapat
menumpang belas ihsan dan rahmat Ilahi. Dan sememangnya Allah SWT maha
kaya dengan sifat rahim, ihsan dan adil serta segala sifat-sifat
kesempurnaan.
Di antara gambaran ihsan dan keadilan Allah SWT bagi kita para
hambanya yang diletakkan dalam ujian yang getir ini, kita tidaklah
dibiarkan sendirian tanpa panduan. Selari dengan fitrah manusia sukakan
kepelbagaian, silih-berganti hari dan bulan Islam berserta dengan
kaitannya dengan sirah Nabi memberi ruang untuk kita memperkukuhkan
tautan kita dengan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.
Di bulan Rejab ini banyak masjid, surau dan institusi mengambil
peluang mengadakan ceramah dan majlis Israk Mikraj. Perbuatan ini jika
dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai
bagi mendekatkan diri mereka dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu
pensyariatan adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah
dengan mana-mana usul agama.
Malah para pendakwah dan mereka yang cintakan agama sepatutnya
sentiasa mencari munasabah bagi menghimpun orang-ramai dalam
majlis-majlis yang dipenuhi dengan penambahan ilmu, peringatan, doa dan
zikir.
Inilah antara pandangan tokoh besar ulama dunia Islam, al-Muhaddith
Dr. Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani r.a dalam tulisan
khususnya mengenai Israk dan Mikraj bertajuk al-Anwar al-Bahiyyah min
Isra’ wa Mi’raj Khayr al-Bariyyah.
Beliau turut menegur golongan yang menentang penganjuran majlis
sedemikian dengan katanya: “Memanfaatkan perhimpunan orang ramai dengan
memberikan peringatan, petunjuk, nasihat dan mengarahkan mereka kepada
kebaikan adalah lebih utama daripada menghalang, menolak dan mengingkari
perhimpunan mereka dengan alasan yang tidak ke mana. Selama ini pun,
apa yang dapat dilihat tegahan mereka tidak pun memberikan sebarang
kesan”.
Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj menyajikan pelbagai pengajaran
untuk memperkukuhkan lagi ikatan iman umat. Selain antara mukjizat
besar yang membuktikan kenabian Nabi kita SAW, ia telah menjadi saat
umat Islam dianugerahi ibadah solat sebagai Mikraj roh kepada Allah
setiap hari.
Ia juga memperjelaskan keistimewaan kedudukan kita sebagai umat Nabi
SAW dengan sebab menumpang keistimewaan dan keutamaan Nabi SAW yang
menjadi Imam segala Nabi dan Rasul. Melalui peristiwa tersebut kita juga
diperingatkan realiti kehidupan akhirat dengan balasan azab dan nikmat
yang akhirnya meletakkan segala yang kita lalui dan punyai dalam
kehidupan ini dalam perspektifnya yang sebenar.
Inilah sekadar segelintir perkara iktibar di sebalik kehadiran bulan
Rejab dan peristiwa Israk dan Mikraj yang wajar diperincikan lagi dan
diulang-ulangkan.
Malangnya ada juga penceramah yang kurang berhati-hati lalu dalam
membicarakan tentang peristiwa ini turut membahaskan isu-isu kontroversi
seperti mensabitkan tempat dan sifat bagi Allah SWT, Maha Suci Allah
daripada menyerupai makhluknya.
Tokoh ulama mutakhir, Sheikh Yusuf al-Dijwi ada menegur tentang perkara ini dalam himpunan tulisan dan fatwanya.
Beliau menegaskan, adalah tidak wajar ayat-ayat mutashabihat
berkaitan dengan isu ini dibicarakan kecuali di dalam majlis-majlis
khusus di kalangan para ulama berdasarkan keperluan. (Maqalaat wa Fatawa
al-Shaikh Yusuf al-Dijwi, (Kaherah, Dar al-Basoir, 2006) Jld 2, ms.724)
Semoga kita dikurniakan kesedaran, kesihatan, semangat dan himmah
yang tinggi dalam naungan taufik untuk menunaikan hak setiap hari yang
dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Semoga bulan Rejab, Syaaban dan
Ramadan kita tahun kita lebih baik daripada tahun sebelumnya.
SUmber : Utusan
http://pondokhabib.wordpress.com
Rabu, 15 Juni 2011
Menghayati Keistimewaan Bulan Rajab
Langganan:
Posting Komentar
(
Atom
)
2 komentar :
Memang Bulan Rajab ini adalah bulan yg dimuliakan Alloh SWT termasuk Bulan Sya'ban & Ramadhan.
Rosululloh sangat menganjurkan memperbanyak amalan ibadah diBulan2 tersebut. Smg Kita bs menjalani ibadah dg konsisten smp akhir hayat.
Sobat @B.Bagio...Tq sdh berkunjung dan Atensinya...Benar smg qta bisa menjalaninya, khusus di bulan Rajab ini, setidaknya minimal sehari dapat melaksanakan puasa sunat...Amin.
Posting Komentar